Khamis, November 13, 2008

HUTAN BANDAR


Inilah lokasi pameran & aktiviti-aktiviti seni Komuniti Pelukis Hutan Bandar iaitu kawasan kaki lima & ruang yang berbumbung di dalam kawasan Bangunan Utama iaitu Pejabat Bahagian Landskap Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) di kawasan Laman Tembusu. Ini adalah wajah terbaru Hutan Bandar berbanding tahun lepas :


Maklumat daripada lembaran :

Taman Rekreasi Awam Hutan Bandar merupakan salah satu kemudahan rekreasi yang disediakan oleh Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) kepada semua wargakota merangkumi kepelbagaian ciri-ciri fizikal. Kemudahan yang disediakan mempunyai konsep pembangunan yang unik & senireka taman yang menggabungkan elemen rekreasi tradisi & budaya tempatan serta memelihara alam semulajadi dalam pembangunannya. Konsep mengekalkan kawasan-kawasan hijau 'Green Lungs' sebagai keseimbangan ekologi dalam arus pembangunan pesat bandar raya Johor Bahru. Pusat-pusat rekreasi sedemikian menjadi pusat tumpuan penyelidikan & rujukan dalam pemeliharaan warisan landskap.

Hutan Bandar meliputi kawasan seluas 50 ekar yang terletak di pertemuan Jalan Tasek Utara & Jalan Yahya Awal, Johor Bahru iaitu kira-kira 1.5km dari pusat bandar raya. Konsep perancangan & rekabentuk berteraskan struktur topografi, sumber air, flora & fauna yang diadun dengan ruang-ruang aktiviti serta kemudahan secara bersepadu, mula diilhamkan pembangunannya sejak tahun 1987. Dengan mendapat bantuan kepakaran daripada Unit Penyelidikan & Perundingan Universiti Teknologi Malaysia, satu ciri pembangunan yang unik telah dilahirkan. Istimewanya kawasan rekreasi ini ialah ianya masih lagi mengekalkan rupabentuk asal dengan penebangan pokok dilakukan pada tahap yang paling minima. Hasilnya adalah sebuah kawasan persekitaran yang menghijau dengan nilai estetika serta pemandangan yang indah & nyaman.

Ia berkonsepkan 'Taman Rekreasi Keluarga' dalam suasana alam semulajadi yang nyaman, selesa & harmoni. Kawasan rekreasi yang terbesar di bandar raya Johor Bahru ini mula dibina pada tahun 1993 oleh Majlis Perbandaran Johor Bahru bertujuan untuk menyediakan kemudahan rekreasi & riadah untuk pelbagai lapisan wargakota Johor Bahru. Taman Rekreasi Awam Hutan Bandar Johor Bahru telah dipilih sebagai salah satu destinasi dalam program Bandaraya Sejahtera yang dianjurkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WorldHealth Organisation - WHO) selain daripada Dewan Bandaraya Kuching Utara Sarawak sejak tahun 1994.

Ciri-ciri & kemudahan yang terdapat di sini adalah seperti Laman Tembusu yang menempatkan bangunan pejabat Bahagian Landskap Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) yang bertanggungjawab untuk menguruskan kawasan rekreasi Hutan Bandar, Medan Selera yang dikenali dengan nama Gerai Atap Belian, Laman Permainan atau Children Adventurous Park, Kawasan Tasik, Tapak Perkhemahan, Taman Orkid, Surau, Tandas & sebagainya.

Tiada ulasan: