Ahad, April 18, 2010

Pameran Seni : KATA + TENAGA + DUA

Pada 17 April 2010 yang lalu, Ilshah Shahbir telah berkesempatan ke Kuala Lumpur berkunjung ke beberapa studio pelukis & galeri seni. Tidak berpeluang untuk memenuhi undangan ke majlis perasmian namun dua buah pameran tersebut dapat juga dikunjungi ekoran masih lagi di dalam tempoh pameran.

Majlis perasmian pameran KATA LUHUR oleh YBhg Datuk A.Samad Said di Balai Seni Lukis Negara telah diadakan pada 9 April 2010 yang lalu sempena menyambut hari lahir beliau yang ke 75.


KATA LUHUR merupakan pameran solo kedua A.Samad Said yang memaparkan kira-kira 100 buah lukisan daripada 11 siri karya terbaru beliau. Himpunan lukisan ini adalah cerminan pengalaman A.Samad Said yang sering bergelut dengan jerih getir memperjuangkan dunia kesusasteraan yang sudah begitu sebati dengan dirinya.

Berbanding dengan siri lakaran di dalam pameran solo pertama (Daerah Samad, 2007) yang kelihatan lebih halus, gestural dan meditatif, karya-karya terbaru ini menonjolkan sapuan yang lebih perkasa, ganas dan penuh yakin seiring dengan nuansa yang menyelubungi detik-detik pengkaryaan lukisan-lukisan tersebut.

KATA LUHUR adalah rakaman visual serta catatan batin bangsa sebuah era yang sarat dengan kisah resah gelisah serta gelora seorang sasterawan dalam menongkah sebuah kehidupan, berbaur dengan pelbagai episod yang mengitari daerah bahasa dan bangsanya.

Pameran anjuran bersama Balai Seni Lukis Negara & Pelita Hati House of Art & Nur Hanim Khairuddin selaku Kurator Jemputan ini akan berakhir pada 10 Mei 2010.

Anjuran Valentine Willie Fine Art & Suraya Warden sebagai Kurator, pameran seni berkumpulan THE ENERGY TRAP :Painting & Sculpture sedang berlangsung di The Annexe Gallery, Tingkat 2, Central Market Annexe, KL. Seramai 14 orang pengkarya catan & arca iaitu Abd Latiff Ahmad Padzali, Azam Aris, Cheong Tuck Wai, Fabian Tan, Gan ChinLee, Hee Chee Way, Lim Keh Soon, Lisa Foo, Low Eng Seng, Mohd Safwan Ahmad, Saiful Razman, Samsudin Wahab, Syafiq Ali'am, Tan Chee Hon & 2 orang pengkarya graffiti iaitu Bibichun & They telah turut serta.





Kepelbagaian media, teknik, bentuk & maksud telah menjadikan setiap hasilan karya menjadi unik & mempunyai identiti tersendiri sekali gus dapat membezakan setiap pengkarya yang terlibat. Majlis pembukaan telah diadakan pada 8 April 2010 yang lalu & pameran akan berlangsung sehingga 23 April 2010.

Pada sebelah malam 17 April 2010, majlis pembukaan pameran seni arca DUALITY oleh Abd Latiff Ahmad Padzali & Mohd Radzi Ismail telah berlangsung. Simon Soon berperanan sebagai Kurator pameran yang telah diadakan di HOM(House of Matahati) Taman Cempaka, Ampang menampilkan himpunan hasil seni arca yang menarik. Latiff selesa dengan objek2 harian sebagai medium utama & Radzi pula mahir dengan bahan tanah liat.






Inovasi & kreativiti mereka berdua penuh dengan inspirasi. Pameran yang telah pun bermula pada 12 April 2010 yang lalu akan berakhir pada 1 Mei 2010 & bagi yang berkesempatan, satu program Bicara Seni iaitu EXPANDED SCULPTURE : Inovasi dalam Seni Arca di Malaysia akan diadakan di HOM pada 24 April 2010 jam 3 petang.

Tiada ulasan: