Jumaat, Januari 15, 2010

Pameran Seni : RENTAK ABAD KE-21 - MONOLOG-MONOLOG RAJA SHAHRIMAN


Pada 19 Disember 2009 yang lalu Ilshah Shahbir telah berkesempatan mengikuti program Bicara Seniman / Lawatan Berpandu pameran karya2 seni arca terkini oleh salah seorang pengarca terulung Malaysia. Pameran solo keenam Raja Shahriman Raja Aziddin & terbesar setakat ini, merangkumi 20 arca baru berskala besar, 45 lukisan dan 15 catan berkonsep peperangan yang menonjolkan sifat semula jadi manusia, cenderung untuk terbabit dalam konflik kehidupan. Terdapat juga tayangan umum video proses penghasilan arca oleh Raja Shahriman terbitan Pelita Hati House of Art.


Melalui program ini, para pengunjung berkesempatan berdialog bersama Raja Shahriman melalui pertanyaan, perbincangan & penerangan mengenai karya2 beliau yang jelas berteraskan kepada idea bahawa manusia mempunyai kemampuan untuk membina, menghancur dan kemudian membina semula, di samping menggunakan saki baki daripada kemusnahan hanya untuk dihancurkan semula. Inilah intipati pameran pada kali ini yang cuba membawa khalayak memahami sifat dalaman manusia yang angkuh, menggunakan senjata untuk menakluk dan memperoleh kuasa sehingga menyebabkan kerosakan alam sekitar dan akhirnya memusnahkan manusia sendiri.



Raja Shahriman berjaya menghasilkan semua karyanya hanya menggunakan tulang empat kerat & hasil seni tempanya tidak dibantu dengan teknologi moden. Pembuatan arca yang dihasilkan adalah inspirasi daripada serpihan logam tinggalan perang. Daripada kepingan logam, Raja Shahriman membentuk ukiran, memotong, mengasah & menstruktur semula setiap kepingan dengan tangan menggunakan api kimpalan oksisatilena sehingga terbentuk arca akhir.



Pameran yang telah pun bermula sejak 29 Oktober 2009 ini akan berlangsung sehingga 24 Januari 2010 di Galeri Petronas, Aras 3, Suria KLCC. Masuk adalah percuma.

Tiada ulasan: