Khamis, Ogos 27, 2009

Pameran : TAMPANNYA BUDI - The Beauty of The Malay Intellect


Untuk kali pertamanya dalam sejarah seni visual Malaysia, hampir kesemua bentuk puisi klasik Melayu telah berjaya ditafsir dalam bentuk lukisan-lukisan indah & bermutu untuk diperagakan dalam pameran Tampannya Budi - The Beauty of The Malay Intellect.



Balai Seni Lukis Negara dengan kerjasama Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Institut Kajian Etnik (KITA) & Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah berjaya merealisasikan sebuah pameran berintipati kesusasteraan Melayu dengan penyertaan 127 orang pelukis & 163 buah karya bertemakan pantun, syair, gurindam, seloka, pepatah Melayu lama, peribahasa & sebagainya.



Ini adalah terjemahan keputusan kepada projek penyelidikan perintis yang bertajuk 'Budaya Visual Melayu' oleh Prof. Madya Salmah Abu Mansor, Felo Penyelidik Kanan, Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), UKM dengan kerjasama Prof. Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin, mantan Pengarah ATMA, UKM (1999-2007) & kini Pengarah Pengasas, Institut Kajian Etnik (KITA), UKM yang telah dilaksanakan sejak tahun 2006.



Dengan sambutan yang begitu menggalakkan, pameran unik ini telah pun selamat dirasmikan oleh mantan Perdana Menteri Malaysia; Yang Amat Berbahagia Tun Dr Mahathir Bin Mohamad selaku Presiden Kehormat, Yayasan Kepimpinan Perdana pada hari Jumaat, 21 Ogos 2009 yang lalu.


Karya Norazlan Ahmad & Ilshah Shahbir turut terlibat. Pameran akan berlangsung sehingga 5 Oktober 2009. Sama-samalah kita nikmati santapan mata & santapan intelek ini yang julung-julung kalinya diadakan.

Tiada ulasan: