Rabu, Jun 09, 2010

Bengkel Seni : SO YOU WANT TO BE AN ARTIST...


Kepada Rakan Artis,

"So you want to be an artist..." bengkel seni dengan kerjasama HOM dan RogueArt akan diadakan pada bulan Jun dan Julai ini di HOM, Ampang.

Objektif bengkel ini adalah untuk membantu juga mendidik artis muda dengan ilmu-ilmu penting seperti bagaimana hendak meletakkan harga, bagaimana hendak menghantar permohonan untuk gran dan residensi, dan cara-cara penjagaan dan pengendalian karya. Bengkel ini juga bertujuan untuk membicarakan perkara – perkara penting yang akan membantu artis itu untuk menjadi seorang artis profesional juga bagaimana meletakan diri anda sebagai artis dalam industri seni tanah air.

Panel-panel yang terlibat termasuklah Artis, Pengurus Galeri, Kurator terkenal dan berpengalaman seperti, Adeline Ooi, Ahmad Fuad Osman, Ahmad Shukri Mohamed, Bayu Utomo Radjikin, Beverly Yong, Chong Siew Ying, June Yap, (Nazli Aziz), Puah Chin Kok, Rachel Ng, Rahel Joseph, Sharon Chin, Snow Ng, Syed Nabil Syed Nahar, Wendy Lam.

Bengkel ini terbahagi kepada 2 sesi, iaitu sesi pertama pada 26 Jun 2010 dan sesi kedua pada 3 Julai 2010, masa untuk kedua- dua sesi adalah dari 10 pagi hingga 5 petang.

Yuran pendaftaran akan di kenakan sebanyak RM20 untuk 2 sesi dan RM15 untuk satu sesi, anda digalakkan supaya mendaftar untuk kedua-dua sesi bengkel. Hidangan ringan akan dihidangkan. Jika berminat untuk menyertai bengkel ini sila hubungi Dill (012 373 6004) atau emel ke houseofmatahati@gmail.com.

Tempat duduk adalah terhad.

http://houseofmatahati.blogspot.com/

Khamis, Mei 27, 2010

DATUK SYED AHMAD JAMAL SAMAN DBKL!

Seniman Negara Datuk Syed Ahmad Jamal menyaman DBKL RM 5 juta kerana melanggar hakcipta pengkarya.



Tarikh : 21 Mei 2010 (Jumaat)
Waktu : 10 pagi
Tempat : Mahkamah Dagang, Aras 5, Mahkamah Tinggi Jalan Duta, Kuala Lumpur

NOTA

Peguamcara bagi pihak pelukis ialah Wendy M.K Lam. Kes ini telah dibuka pada tahun 2003 dan dibicarakan di bawah AKTA HAK CIPTA 1987. Hakim bagi kes ini ialah Dato' Azahar bin Mohammed. Pakar seni jemputan sebagai saksi kes ialah Prof. Dr D'zul Haimi Md Zain (pensyarah seni UiTM) dan Ooi Kok Chuen, penulis seni. Makluman mengenai perkembangan kes telah dimajukan oleh pihak Balai Seni Lukis Negara kepada Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan.

KEPUTUSAN

Kemenangan telah berpihak kepada Datuk Syed Ahmad Jamal dengan gantirugi sebanyak RM 750,000.00. Hakim mahkamah, Dato' Azahar Mohamed diberitakan berkata bahawa pampasan ini adalah "consolitary rather than compensatory damages..events reflect insensitivity towards artwork and modern malaysian art.."

Foto & info oleh Nur Hanim Khairuddin

Klik link : http://sendawamalaysia.blogspot.com/2010/05/syed-ahmad-jamal-vs-dbkl.html

Klik link untuk Laporan BERNAMA : http://www.themalaysianinsider.com/malaysia/article/kl-mayor-ordered-to-pay-artist-rm750000-for-altering-sculpture/

Isnin, April 26, 2010

HOLISTIK Bil.14 - MAC 2010

KOMUNITI PELUKIS HUTAN BANDAR AKTIF BERKARYA

Majalah Holistik - Ruangan Seni
Muka surat 28 & 29
Temubual oleh Hamirul Hairi Mohd Noh menampilkan Ilshah Shahbir

Jumaat, April 23, 2010

SENIKINI isu #05

Sebahagian gambar oleh Ilshah Shahbir daripada blog ini

http://komunitipelukishutanbandar.blogspot.com/2009/12/pertandingan-seni-tampak-terbuka-johor.html

telah diterbitkan untuk artikel :

PERTANDINGAN SENI TAMPAK TERBUKA JOHOR 2009 - SATU ULASAN
Senikini isu #05 - Exhibition Highlights
Muka surat 19, 20 & 21
oleh Hasnul J Saidon

Ahad, April 18, 2010

Pameran Seni : KATA + TENAGA + DUA

Pada 17 April 2010 yang lalu, Ilshah Shahbir telah berkesempatan ke Kuala Lumpur berkunjung ke beberapa studio pelukis & galeri seni. Tidak berpeluang untuk memenuhi undangan ke majlis perasmian namun dua buah pameran tersebut dapat juga dikunjungi ekoran masih lagi di dalam tempoh pameran.

Majlis perasmian pameran KATA LUHUR oleh YBhg Datuk A.Samad Said di Balai Seni Lukis Negara telah diadakan pada 9 April 2010 yang lalu sempena menyambut hari lahir beliau yang ke 75.


KATA LUHUR merupakan pameran solo kedua A.Samad Said yang memaparkan kira-kira 100 buah lukisan daripada 11 siri karya terbaru beliau. Himpunan lukisan ini adalah cerminan pengalaman A.Samad Said yang sering bergelut dengan jerih getir memperjuangkan dunia kesusasteraan yang sudah begitu sebati dengan dirinya.

Berbanding dengan siri lakaran di dalam pameran solo pertama (Daerah Samad, 2007) yang kelihatan lebih halus, gestural dan meditatif, karya-karya terbaru ini menonjolkan sapuan yang lebih perkasa, ganas dan penuh yakin seiring dengan nuansa yang menyelubungi detik-detik pengkaryaan lukisan-lukisan tersebut.

KATA LUHUR adalah rakaman visual serta catatan batin bangsa sebuah era yang sarat dengan kisah resah gelisah serta gelora seorang sasterawan dalam menongkah sebuah kehidupan, berbaur dengan pelbagai episod yang mengitari daerah bahasa dan bangsanya.

Pameran anjuran bersama Balai Seni Lukis Negara & Pelita Hati House of Art & Nur Hanim Khairuddin selaku Kurator Jemputan ini akan berakhir pada 10 Mei 2010.

Anjuran Valentine Willie Fine Art & Suraya Warden sebagai Kurator, pameran seni berkumpulan THE ENERGY TRAP :Painting & Sculpture sedang berlangsung di The Annexe Gallery, Tingkat 2, Central Market Annexe, KL. Seramai 14 orang pengkarya catan & arca iaitu Abd Latiff Ahmad Padzali, Azam Aris, Cheong Tuck Wai, Fabian Tan, Gan ChinLee, Hee Chee Way, Lim Keh Soon, Lisa Foo, Low Eng Seng, Mohd Safwan Ahmad, Saiful Razman, Samsudin Wahab, Syafiq Ali'am, Tan Chee Hon & 2 orang pengkarya graffiti iaitu Bibichun & They telah turut serta.





Kepelbagaian media, teknik, bentuk & maksud telah menjadikan setiap hasilan karya menjadi unik & mempunyai identiti tersendiri sekali gus dapat membezakan setiap pengkarya yang terlibat. Majlis pembukaan telah diadakan pada 8 April 2010 yang lalu & pameran akan berlangsung sehingga 23 April 2010.

Pada sebelah malam 17 April 2010, majlis pembukaan pameran seni arca DUALITY oleh Abd Latiff Ahmad Padzali & Mohd Radzi Ismail telah berlangsung. Simon Soon berperanan sebagai Kurator pameran yang telah diadakan di HOM(House of Matahati) Taman Cempaka, Ampang menampilkan himpunan hasil seni arca yang menarik. Latiff selesa dengan objek2 harian sebagai medium utama & Radzi pula mahir dengan bahan tanah liat.






Inovasi & kreativiti mereka berdua penuh dengan inspirasi. Pameran yang telah pun bermula pada 12 April 2010 yang lalu akan berakhir pada 1 Mei 2010 & bagi yang berkesempatan, satu program Bicara Seni iaitu EXPANDED SCULPTURE : Inovasi dalam Seni Arca di Malaysia akan diadakan di HOM pada 24 April 2010 jam 3 petang.