Memaparkan catatan dengan label Sejarah Kami. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Sejarah Kami. Papar semua catatan

Khamis, November 13, 2008

HASILNYA..

Rabu, 6 Februari 2008

Sekarang ni susulan daripada projek Norazlan Ahmad & Ilshah Shahbir pada 29 & 30 Disember 2007 yang lalu, telah wujud satu suasana seni di Johor Bahru sebagaimana yang kami harapkan. Sehingga kini, pada setiap hari Sabtu & Ahad kami berkumpul & berkarya di Hutan Bandar tersebut.

Aktiviti kami adalah berkarya & cuba mendekatkan masyarakat dengan hasil seni. Bagi kami yang penting kami dapat berkarya & masyarakat dapat mendekati & mendalami dunia seni kami. Kini pelukis Hutan Bandar telah ada seramai 16 orang. Kami terdiri daripada pelbagai tahap profesional, amatur, pelajar & peminat seni di Hutan Bandar tersebut. Hasrat kami, Hutan Bandar akan menjadi destinasi riadah seni, sesiapa pun boleh bersama kami berkarya & berkongsi ilmu dan minat. Malah boleh juga cuba untuk menjual karya sebagai percubaan untuk melihat respon khalayak terhadap karya. Sedikit sebanyak dapat memangkin diri untuk terus berkarya.

Kami telah membuat perjanjian dengan pihak Majlis Bandaraya JohorBahru supaya kami bebas berkarya dan menjual karya secara percuma.

Inisiatif yang kami ambil ialah :

1) meminta kebenaran pihak berwajib supaya tempat itu menjadi tempat pelukis berkumpul secara percuma.

2) melakukan hebahan & promosi supaya semua pelukis & juga masyarakat menganggap Hutan Bandar adalah tempat pelukis meluahkan aspirasi seninya. Tentang siapa pelukis yang akan ke sana , bila pelukis hendak melakukan demonstrasi, itu adalah inisiatif pelukis itu sendiri.

Komuniti Pelukis Hutan Bandar

itu hanyalah membawa maksud tempat pelukis berkumpul dengan satu hasrat & cita-cita yang sama. Apa aktiviti yang hendak dibuat terpulanglah kepada pelukis itu sendiri. Apa yang penting tempatnya dah ada.

Demonstrasi pada hari Sabtu & Ahad

itu terpulang kepada mana-mana pelukis pun untuk melakukannya di Hutan Bandar secara individu. Bebas tanpa perlu meminta izin sesiapa. Cuma apabila ada program yang dianjurkan kami, selalunya kami akan mempelawa pelukis-pelukis untuk berkumpul & secara berkumpulan membuat demonstrasi secara formal dengan makluman pihak MBJB, sebagaimana yang pernah kami buat sebelum ini.

Isnin, November 10, 2008

AL KISAH BERMULALAH SEJARAH..

Norazlan Ahmad & Ilshah Shahbir memulakan perkenalan ketika bertemu di dalam sebuah pameran anjuran Galeri Seni Johor sekitar awal tahun 2007. Norazlan Ahmad adalah anak kelahiran Johor merupakan seorang Guru yang mempunyai minat yang mendalam terhadap Seni. Ilshah Shahbir pula sepenuh masa sebagai Pelukis, Pereka Grafik & Illustrator untuk Is Heartwork dari Kuala Lumpur.

Atas nama persahabatan yang berkongsi minat, cita-cita, visi & usaha yang sama beberapa aktiviti seni dirancang untuk dilaksanakan. Sikap Norazlan Ahmad yang begitu minat & berusaha bersungguh-sungguh ditambah dengan pengetahuan, kemahiran & pengalaman Ilshah Shahbir telah menjadi akar kekuatan untuk merealisasikan setiap aktiviti seni yang telah dirancang.

Hasilnya beberapa siri pameran telah dapat dijayakan iaitu Pameran Pendidikan Seni Visual SK Taman Universiti (1), Pameran Relief Painting & Pameran Ilustrasi : 9899 di Festive Street Mall, Danga Bay serta Pameran Inspirasi di SMK Pasir Gudang & SK Taman Universiti (1).

Kejayaan-kejayaan awal ini telah menjadi inspirasi, pembakar semangat & penguat keyakinan untuk berusaha ke peringkat seterusnya. Hasil perbincangan demi perbincangan telah timbul idea untuk mewujudkan sebuah tempat berkumpulnya para pelukis di samping dapat berkarya & mengadakan pelbagai aktiviti-aktiviti seni. Hal ini perlu kerana ianya akan memberi banyak faedah & impak yang positif di kalangan golongan pelukis & anggota masyarakat di Johor Bahru khususnya.

Lokasi mula dicari & pelbagai cadangan dibuat. Tinjauan dilakukan & akhirnya pada 19 November 2007 Norazlan Ahmad & Ilshah Shahbir telah sebulat suara memilih kawasan rekreasi kelolaan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) iaitu Hutan Bandar. Berikut adalah rentetan peristiwanya :

Khamis, 23 November 2007

Pergi ke Hutan Bandar untuk membuat temujanji.

Khamis, 29 November 2007

Norazlan Ahmad berjumpa dengan Pengarah Jabatan Landskap Majlis Bandaraya Johor Bahru iaitu Encik Kamaluddin B. Bilal. Niat nak minta kebenarannya untuk melukis di Hutan Bandar, sebuah pusat rekreasi di bawah kelolaannya. Kami merancang untuk mengumpul beberapa orang pelukis untuk berkarya di situ pada hari Sabtu dan Ahad. Namun berlaku sesuatu yang di luar jangkaan.

Beliau mencadangkan beberapa aktiviti melukis termasuklah pameran seni di beberapa tempat lain di bawah kelolaannya seperti di Dataran Sungai Segget, Taman Merdeka dan Jotic. Jika berjaya, Hutan Bandar boleh menjadi 'hub' untuk 'link' ke hotel-hotel di Johor khususnya. Malah beliau juga menawarkan segala kemudahan yang di perlukan untuk menjayakan aktiviti tersebut.

Beliau juga menawarkan beberapa kiosk/gerai percuma untuk 3 hingga 6 bulan untuk permulaan aktiviti. Untuk bulan seterusnya, hanya sebanyak RM50 sebulan untuk satu kiosk. Terdapat 5 buah kiosk di situ. Beliau bersetuju dengan hasrat kami untuk menyemarakkan seni lukis di Johor Bahru amnya dan di Hutan Bandar khasnya. Ada idea untuk mewujudkan satu ikon baru di Hutan Bandar tersebut sebagai satu pusat seni lukis di Johor. Kami hanya sebagai pelukis separuh masa. Kami tidak mampu untuk sepenuhnya berada di kiosk tersebut.

Lantas datang satu idea untuk menawarkan tempat tersebut kepada pelukis-pelukis lain yang berminat dan mampu berada di situ sepenuh masa. Tapi siapa? Kami mensasarkan kepada individu berminat dan mempunyai semangat yang kental untuk melaksanakannya. Kami fikir jika ada bekas pelajar seni lukis yang menganggur yang kuat semangatnya, mungkin boleh mengambil peluang ini.

Sebagai percubaan, kami merancang untuk membuat aktiviti melukis termasuklah menjual karya mungkin pada 29/12-30/12 (sabtu dan Ahad). Aktiviti tersebut sebagai percubaan kepada sesiapa pun yang mahu cuba menjual karya seninya. Cuma pada hari tersebut dia perlu berkarya di situ selain mempamerkan hasil karyanya.

Selain itu dia mungkin boleh cuba menilai sama ada hendak terus berkarya di situ atau tidak. Pada kami, kepada bekas pelajar seni lukis yang baru keluar dari mana-mana institusi pun boleh mengambil peluang ini sekiranya tiada apa-apa komitmen. Cubalah. Tempat percuma, yang perlu hanya semangat. Jika dari luar Johor tentu menuntut pengorbanan yang lebih besar untuk mencari tempat menginap. Namun itulah cabarannya.

Rabu, 12 Disember 2007

Kami berterusan mencari pelukis yang berminat untuk menjayakan aktiviti seni pertama kami di Hutan Bandar. Norazlan Ahmad telah menghubungi pihak Kraftangan Johor & bertemu dengan pelukis batik iaitu Encik Omar. Kemudian ke Galeri Seni Johor untuk mohon senarai nama para pelukis johor. Seterusnya ke Plaza Seni mempelawa saudara Taib untuk serta.

Khamis, 13 Disember 2007

Norazlan Ahmad berjumpa dengan Encik Muhamad, seorang ilustrator & kartunis sambilan untuk majalah Asuh. Dapat panggilan daripada Encik Razali yatim yang berminat & seterusnya menghubungi Encik Ismail Attan. Secara majoritinya berminat & sepenuhnya memberi sokongan untuk menjayakan aktiviti seni tersebut.

Ilshah Shahbir pula mempelawa Norafizah aka E-jot & Norfazilah aka Mulan ketika menghadiri Diploma Show mereka berdua di Politeknik Johor Bahru.

Secara kasarnya jumlah pelukis yang berminat untuk menyertai sudah cukup. Hanya tunggu hari pameran untuk merealisasikannya iaitu pameran lukisan & demonstrasi melukis PREVIEW : seni @ hutan bandar, JB pada 29 & 30 Disember 2007.